COVER

KATA ALUAN

Wednesday, November 28, 2012

Kata Nama Khas





KETERANGAN:

       Kata Nama Khas ialah kata yang merujuk kepada nama sesuatu benda yang khusus dan ejaannya berpangkalkan huruf besar.

 
 








LATIHAN 2  : KATA NAMA KHAS

Isi tempat kosong dengan perkataan yang paling sesuai.

1.         Pemenang program realiti TV 10  telah menerima sebuah kereta ________ .
            A  Sony                                   C  Gen 2
            B  Nokia                                  D  Dell

2.         Kes pembunuhan berprofil tinggi itu telah diketuai oleh ________ .
A  Mejar Amran                      C  Inspektor Haris
B  Hakim Saljit Singh             D  Peguam Bala

3.          Jam tangan berjenama ________ telah dihadiahi oleh Datuk Kamal    kepada kepada anak kesayangannya.
            A  Pilot                                    C  Darlie
            B  Rolex                                  D  Satria

4.         Pada hari minggu ayah membawa kami ke ________ untuk membeli belah.
            A  Pasar Raya Tesco               C  Hotel Perdana
            B  Stesen KLIA                      D  Bangunan Petronas

5.         Khazanah purba negara banyak tersimpan di ________ .
            A  Masjid Negara                    C  Taman Negara
            B  Zoo Negara                                    D  Muzium Negara

6.         Murid-murid menghadiahi guru-guru mereka pelbagai hadiah sempena sambutan ________ peringkat sekolah setiap tahun.
            A  Hari Ibu                              C  Hari Guru
            B  Hari Bapa                           D  Hari Pekerja

7.         Tunku Abdul Rahman telah dianugerahi gelaran ________ .
            A  Bapa Keamanan                 C  Bapa Pemodenan
            B  Bapa Kemerdekaan            D  Bapa Perpaduan

8.         Negeri ________ juga dikenali sebagai Negeri Jelapang Padi Malaysia.
            A  Johor                                  C  Kelantan
            B  Pahang                                D  Kedah

9.         Orang ramai telah berkunjung ke ________ untuk melihat gerhana matahari yang berlaku baru-
baru ini.
            A  Bangunan KLCC               C  Planetarium Negara
            B  Menara Kuala Lumpur       D  Pusat Dagangan Dunia

10.       Ramai pembesar negara hadir ke ________ untuk meraikan istiadat pertabalan Yang Dipertuan
Agung.
            A  Istana Negeri                      C  Dewan Merdeka
            B  Istana Negara                     D  Bangunan Parlimen

Kata Nama Am



BAHASA MELAYU PEMAHAMAN

KETERANGAN:

       Kata Nama Am ialah kata yang menamakan manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, benda, tempat dan sebagainya secara am atau umum

Kata Nama Am boleh terbina daripada kata dasar atau pun kata terbitan.
Kata nama dasar ialah kata nama yang tidak mengalami proses pengimbuhan.
Kata nama terbitan ialah kata nama yang terhasil akibat proses pengimbuhan pada sesuatu kata dasar.















Isi tempat kosong dengan perkataan yang paling sesuai.

1.         __________ yang terletak di hujung kampung mengeluarkan hasil yang lumayan.
A  Kebun                                C  Buah
B  Pokok                                 D  Tumbuhan

2.         Mak Lijah mengikat sebilah __________ pada galah itu untuk mengait jantung pisang.
A  tajak                                   C  parang
B  gunting                               D  pisau

3.         Kerja sebagai seorang anggota __________ adalah untuk menangkap dan membawa penjenayah ke muka pengadilan.
A  tentera                                C  rela
B  polis                                    D  kastam

4.         _________ handalan itu telah memecahkan rekod acara 100 meter yang bertahan selama lima tahun.
A  Orang                                 C  Atlet
B   Pasukan                             D  pemain

5.         Kawasan itu akan dimajukan sebagai kawasan __________ yang baharu tidak lama lagi.
A  perumah                             C  perumahan
B  rumah                                 D  berumah

6.         Seorang __________ ternama sedang bermain golf sambil berbincang urusan jual beli dengan rakan-rakannya.
A  pekerja                                C  pegawai
B  peniaga                               D  usahawan



7.         Bapa saya pernah menjadi __________ sekolah di kampung ini.
A  ketuaan                               C  mengetua
B  ketua                                   D  pengetua

8.         Banyak _________ gemar melawat tempat-tempat menarik di negara ini.
A  pelancung                           C  pelancong
B  pendatang                           D  pelawat

9.         Para pelajar sedang sibuk menghias __________ sekolah kerana majlis anugerah kecemerlangan akan diadakan lusa.
A  taman                                 C  kantin
B  dewan                                 D  kedai

10.       Pada zaman dahulu, banyak _________ datang ke Melaka untuk urusan perniagaan.
A  pengurus                             C  penjual
B  penjaja                                D  pedagang

Monday, October 29, 2012

CONTOH KARANGAN BERITA


KARANGAN JENIS BERITA


Latihan
Soalan
1
Baru-baru ini, sekolah anda telah mengadakan Hari Terbuka bersempena dengan sambutan Jubli Emas sekolah. Sebagai sidang pengarang sekolah, tulis berita itu selengkapnya.

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan
nama tempat - hari - Hari Terbuka bersempena dengan sambutan Jubli Emas sekolah

Isi-isi Penting
(a)    diadakan selama tiga hari - dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan Negeri
(b)   pelbagai aktiviti diadakan - pameran hasil kraftangan penduduk setempat - hasil-hasil kerja tangan murid yang diwakili melalui kelab
(c)    gerai-gerai disediakan - menjual pelbagai barang - termasuk makanan - terbuka kepada orang awam
(d)   diadakan pertandingan melukis dan mewarna - acara sukaneka antara murid-murid dengan guru-guru

Penutup
hari terakhir - hari penyampaian hadiah kepada murid-murid yang berjaya

Latihan
Soalan
2
Sekolah anda telah menganjurkan Kem Motivasi 2005 untuk murid-murid tahun enam. Anda dikehendaki menulis berita tentang program itu untuk dimuatkan dalam majalah sekolah. Tulis berita itu selengkapnya.



RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
Hari - Kem Motivasi 2007 - murid tahun enam - nama tempat 

Isi-isi Penting
(a)    tiga hari dua malam - tujuan - meningkatkan sahsiah dan keyakinan murid di tahun enam
(b)   tumpuan - murid-murid tahun enam - persediaan mental dan fizikal sebelum UPSR
(c)    aktiviti - kursus dan bengkel - teknik menjawab soalan - teknik pembelajaran berkesan – penceramah luar
(d)   aktiviti luar darjah - lasak - memupuk semangat perpaduan dan kerjasama

Penutup
murid yang cemerlang - seimbang - rohani dan jasmani – harapan – berkesan untuk berjaya





Latihan
Soalan
3
Tuliskan sebuah berita tentang keracunan makanan untuk dimuatkan dalam akhbar Buletin Harian.

RANGKA KARANGAN:

Pendahuluan

        Kota Bharu, 19 Julai – Lapan orang murid Sekolah Rendah Padang Garong dimasukkan ke Hospital Besar Kota Bharu – mengalami keracunan makanan.

Isi-isi penting


1-     Isi: Mengadu sakit perut
-          Huraian: Selepas makan mee goreng
-          Huraian lanjut:  dibeli dari sebuah warung

2-     Isi:  Inspektor kesihatan mengambil contoh mee
-          Huraian: dihantar ke Jabatan Kimia Hospital Universiti Sains Kubang Kerian
-          Huraian lanjut:  Keputusan ujian dijangka diketahui minggu depan

3-     Isi:  Pihak kesihatan menjalankan siasatan lanjut
-          Huraian: Warung tersebut diarahkan tutup
-          Huraian lanjut: Sementara waktu sepanjang tempoh siasatan

4-     Isi:  Siasatan awal mendapati – warung kurang bersih
-          Huraian: Kedudukan berhampiran tempat pembuangan sampah
-          Huraian lanjut:  banyak lalat – tempat tidak sesuai dijadikan gerai

Penutup


- Orang ramai dinasihati memilih warung yang bersih – murid-murid sepatutnya membeli makanan di kantin sekolah atau membawa bekal




CONTOH KARANGAN:


Kota Bharu, 19 Julai – Lapan orang murid Sekolah Rendah Padang Garong telah dimasukkan ke Hospital Besar Kota Bharu kerana mengalami keracunan makanan. Kejadian itu berlaku pada pukul 10.00 pagi tadi.

Murid-murid terbabit mengadu sakit perut selepas mereka makan mee goreng yang dibeli dari sebuah warung yang terletak di luar pagar sekolah. Murid-murid tersebut telah keluar pada waktu rehat dan membeli makanan di gerai itu tanpa pengetahuan pihak sekolah.

Inspektor kesihatan yang pergi ke tempat kejadian telah mengambil contoh mee itu untuk dihantar ke Jabatan Kimia Hospital Universiti Sains Kubang Kerian. Menurut beliau, keputusan ujian dijangka diketahui pada minggu depan

Pihak Jabatan Kesihatan telah menjalankan siasatan lanjut terhadap warung itu dan pemiliknya. Warung tersebut diarahkan tutup sementara waktu sepanjang tempoh siasatan ini dijalankan.

Siasatan awal yang dijalankan mendapati warung tersebut kurang bersih dan kedudukannya yang terletak berhampiran dengan tempat pembuangan sampah dan terdapat banyak lalat di situ. Tempat itu sebenarnya tidak sesuai dijadikan gerai menjual makanan.

Untuk mengelakkan kejadian yang serupa, murid-murid dinasihatkan membeli makanan di kantin sekolah atau membawa bekal dari rumah.


Latihan
Soalan
4
Kempen Mencegah Bahaya Nyamuk Aedes di sekolah anda telah dilangsungkan. Anda dikehendaki menulis berita tentang program itu untuk dimuatkan dalam majalah sekolah. Tulis berita itu selengkapnya.

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan
nama tempat - hari - Kempen Mencegah Bahaya Nyamuk Aedes

Isi-isi Penting
(a)    kempen diadakan secara berperingkat - dari peringkat sekolah, negeri hingga kebangsaan - memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya nyamuk aedes
(b)   anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia - mendapat sambutan yang menggalakkan
(c)    mengadakan pameran dan ceramah mengenai kepentingan menjaga kesihatan - penyemburan racun serangga di sekitar kawasan sekolah
(d)   mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah - mencegah tempat pembiakan nyamuk - menggalakkan kebersihan

Penutup
memberi kesedaran kepada semua - beringat sebelum kena 

CONTOH KARANGAN SYARAHAN


KARANGAN JENIS SYARAHAN

Latihan
Soalan
1
Andaikan anda seorang tokoh sekolah. Anda diminta untuk menyampaikan syarahan dalam perhimpunan sekolah. Tajuk syarahan  itu ialah "Kepentingan Aktiviti Sukan kepada Murid- murid". Sediakan teks syarahan tersebut selengkapnya.

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan
kata alu-aluan kepada Pengerusi Majlis, guru- guru, dan rakan-rakan- menyatakan tajuk

Isi-isi Penting
(a)    Bersukan menjadikan tubuh badan sihat - fikiran tidak tertekan oleh pelajaran
(b)   meningkatkan keyakinan diri - memupuk nilai-nilai kepemimpinan
(c)    melahirkan murid yang berdisiplin dan bertanggungjawab - dapat menghindarkan diri daripada unsur yang tidak sihat
(d)   mengharumkan nama sekolah dengan kejayaan - menaikkan imej sekolah

Penutup
sukan tidak menjejaskan pelajaran - ucapan terima kasih


Latihan
Soalan
2
Kamu selaku Pengerusi Kelab Menabung diminta menyampaikan syarahan sempena kempen menabung. Tajuk syarahan  kamu ialah “Faedah Menabung”. Sediakan teks syarahan kamu itu.

CONTOH KARANGAN:

            Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, guru-guru penolong kanan, guru-guru, dan rakan-rakan yang dihormati sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan.
            Pada pagi yang berbahagia ini, saya akan menyampaikan ucapan yang bertajuk “Faedah Menabung”.
Hadirin yang dihormati sekalian,
            Amalan menabung bermaksud amalan menyimpan wang secara sedikit demi sedikit. Wang yang disimpan itu adalah wang lebihan yang diberikan oleh ibu bapa untuk perbelanjaan di sekolah.
            Amalan menabung ini membawa banyak kebaikan. Amalan ini dapat mendidik kita supaya tidak berbelanja besar. Kita akan sentiasa berbelanja mengikut kemampuan dan bukannya nafsu membeli. Kita akan dapat mengawal perbelanjaan kerana kita mempunyai keinginan untuk menabung.
            Faedah menabung dapat memupuk sikap sentiasa berjimat cermat. Dengan amalan ini, sikap boros dapat dihindari kerana orang yang suka menabung mempunyai azam untuk sentiasa menambah wang tabungan. Biasanya mereka akan mencapai kepuasan apabila simpanan tabungan mereka bertambah dari semasa ke semasa.
            Faedah lain yang kita boleh peroleh daripada amalan menabung adalah dapat menggunakan wang tabungan sekiranya berlaku kecemasan. Kita boleh gunakan wang simpanan untuk berbelanja bagi mengelakkan kita berhutang ketika kecemasan. Kalau kita tidak mempunyai wang simpanan, kita akan berhutang dan ini akan menambahkan bebanan.
Hadiri sekalian,
            Amalan menabung perlu dipupuk sejak kecil lagi supaya amalan ini terus sebati dalam diri sehingga dewasa. Oleh itu, marilah kita bertekad untuk menabung dari sekarang. Ingatlah pepatah “beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis”. Sekian dahulu ucapan saya dan saya sudahi dengan ucapan terima kasih.


Latihan
Soalan
3
Kamu menyertai pertandingan syarahan di sekolah kamu. Tajuk syarahan yang kamu pilih ialah “Guru adalah Ibu Bapa Murid di Sekolah”. Sediakan teks syarahan kamu itu.

RANGKA KARANGAN


1.        Pendahuluan:
·         kata alu-aluan – salam – tujuan – tajuk

2.        Isi-isi penting:
·         banyak masa bersama guru – lebih lima jam sehari
·         guru mendidik – memberi ilmu – dedikasi
·         ibu bapa mencari rezeki – guru mengajar – mendidik
·         Di rumah hidup bersama adik-beradik – di sekolah ramai kawan – guru jaga

3.        Penutup:
·         kesimpulan – kata hikmat – saranan – terima kasih


CONTOH KARANGAN

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan serta rakan-rakan sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan. Berdirinya saya di sini pada pagi yang mulia ini adalah untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk “Guru Ialah Ibu Bapa Murid di Sekolah”.
Hadirin yang dihormati sekalian,
            Sebagai seorang pelajar, kita banyak menghabiskan masa di sekolah bersama guru. Lebih daripada lima jam sehari kita berada di sekolah. Waktu pagi belajar di dalam bilik darjah manakala petangnya menyertai aktiviti kokurikulum.
            Di sekolah, guru mendidik kita setiap hari. Guru memberi banyak ilmu pengetahuan kepada kita supaya kita menjadi manusia yang pandai dan berguna kepada masyarakat. Untuk itu, guru dengan penuh dedikasi cuba mendidik kita supaya kita berjaya.
            Di rumah pula, ibu dan bapa tekun bekerja untuk mencari rezeki bagi menyara hidup kita. Segala keperluan kita akan ditunaikan oleh ibu dan bapa. Kita perlu patuh kepada arahan ibu dan bapa di rumah supaya kita selamat di dunia dan di akhirat.


Hadirin sekalian,
            Di rumah kita bergaul dengan adik-beradik dengan diawasi oleh ibu dan bapa. Jika bergaduh, ibu dan bapa akan meleraikannya. Di sekolah pula, kita bergaul dengan kawan-kawan yang ramai. Pergaulan kita akan diawasi oleh guru. Jika ada masalah, gurulah yang menjadi tempat kita mengadu.
            Jadi berdasarkan keterangan saya maka benarlah pendapat bahawa guru merupakan ibu bapa kita di sekolah. Oleh sebab itu, kita perlu menghormati guru sebagaimana kita menghormati ibu dan bapa. Sekian sahaja syarahan saya. Terima kasih.



Latihan
Soalan
4
Pusat sumber sekolah kamu mengadakan kempen “Mari Membaca” Sebagai Ketua Pengawas Pusat Sumber, kamu ditugaskan menyampaikan syarahan kepada para pelajar pada hari pelancaran kempen tersebut. Tajuk syarah kamu ialah “Melahirkan Budaya Suka Membaca”. Tuliskan teks syarahan kamu itu.

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan

Kata alu-aluan – salam – berdirinya saya – tajuk

Isi-isi penting


1.      -     Kata penegas,
-     Isi:  Amalan suka membaca – penting
-          Huraian:  Banyak faedah – didapati dengan membaca
-          Huraian lanjut:  Bukan sahaja – menambah ilmu pengetahuan, bahkan – boleh dijadikan panduan dan teladan
2.      -     Isi:  Membaca – hobi – berguna
-          Huraian:  Mengisi masa – tidak terbuang begitu saja
-          Huraian lanjut:  Boleh – meningkatkan penguasaan bahasa
3.      -     Isi:  Membaca – amalan baik
-          Huraian: Bagaimana cara menyemai – minat membaca
-          Huraian lanjut:  Aktiviti membaca – seronok – berkumpulan – ajak rakan-rakan – membaca – taman rekreasi – sekolah – beri  hadiah galakkan – paling banyak baca buku
4.      -     Kata penegas
-     Isi:  Hilangkan kebosanan – pelbagaikan bahan bacaan
-          Huraian: Jangan hanya baca buku teks – baca juga buku-buku cerita
-          Huraian lanjut: Pilih buku yang menarik – di pusat sumber – juga boleh beli – tambah koleksi di rumah

Penutup


        Jelaslah kepada kita – bahawa membaca sangat penting – Ingatlah “Membaca Jambatan Ilmu” – akhir kata jadikan amalam membaca sebagai budaya hidup – Sekian, terima kasih


CONTOH KARANGAN:


Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang berusaha Tuan Guru Besar, guru-guru penolong kanan, guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan.Berdirinya saya di sini pada pagi yang mulia ini ialah untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk “Melahirkan Budaya Suka Membaca”.

Hadirin yang saya hormati sekalian,
Suka membaca adalah tabiat yang sangat berguna terutamanya kepada para pelajar. Banyak faedah yang boleh didapati dengan membaca. Ia bukan sahaja untuk menambah ilmu pengetahuan, bahkan boleh dijadikan panduan dan teladan dalam hidup kita.

Membaca merupakan hobi yang sangat berguna kepada kita. Ia dapat mengisi masa kita dengan perbuatan yang berfaedah dan masa lapang kita tidak terbuang begitu saja. Di samping itu, ia boleh meningkatkan penguasaan bahasa kita.

Membaca merupakan amalan yang sangat baik kepada kita. Minat membaca boleh disemai sedari kecil lagi. Aktiviti membaca lebih seronok jika dilakukan secara berkumpulan. Kita boleh mengajak rakan-rakan untuk membaca di taman rekreasi atau pun di pusat sumber sekolah. Ibu bapa juga patut memberi  hadiah galakkan kepada anak-anak mereka paling banyak baca buku.

Hadirin sekalian,
Membaca boleh menghilangkan kebosanan. Kita boleh membaca pelbagai bahan bacaan. Jangan hanya baca buku teks sahaja. Bacalah juga buku-buku cerita, majalah novel dan lain-lain lagi. Pilihlah buku-buku yang menarik yang boleh didapati di pusat sumber malahan boleh juga boleh beli sebagai tambah koleksi buku-buku di rumah.

Jelaslah kepada kita bahawa membaca sangat penting. Ingatlah kata pepatah “Membaca Jambatan Ilmu”. Akhir kata dari saya, jadikan amalam membaca sebagai budaya hidup. Sekian sahaja syarahan saya, terima kasih.


Latihan
Soalan
5
Anda mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan yang bertajuk “Kepentingan Sains dan Teknologi Dalam Kehidupan Manusia”. Tulis syarahan tersebut.

RANGKA KARANGAN:

Pendahuluan

Kata-kata aluan – Pengerusi, guru besar, hakim, hadirin lain – salam – tujuan - tajuk syarahan.

Isi-isi

1.      Sains dan teknologi – penting – negara membangun – negara kita menuju negara maju - semakin maju sains dan teknologi – semakin maju negara.

2.      Contoh kemajuan sains dan teknologi – televisyen alat sebaran am – telefon alat perhubungan – komputer, internet alat perhubungan dan maklumat.

3.      Perbandingan – dahulu mundur – aspek pendidikan, perubatan, perindusterian - kurang alat berteknologi tinggi.

4.      Menegaskan – sains memudahkan pekerjaan – menjimatkan masa – maklumat kemas, tersusun – jadikan manusia lebih pintar.

Penutup


Saranan – gunakan rekaan sains – secara bijak – Akhir kata – sekian syarahan – terima kasih.

CONTOH KARANGAN:

Yang dimuliakan Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Pegawai Pendidikan Daerah Kota Bharu, para guru besar, barisan hakim yang arif lagi bijak sana, guru-guru dan para hadirin sekalian.
Selamat sejahtera saya ucapkan. Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk “Kepentingan Sains dan Teknologi Kepada Kehidupan Manusia.”

Hadirin yang dihormati sekalian,
            Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Sains dan Teknologi sangat penting pada zaman ini. Negara kita sedang menuju ke arah negara maju. Ini disebabkan semakin maju Sains dan Teknologi negara tersebut maka semakin majulah negara itu.

            Di antara contoh kemajuan Sains dan Teknologi ialah terciptanya televisyen, telefon, komputer dan peralatan perubatan yang canggih. Peralatan ini memberi banyak kemudahan kepada manusia.

            Pada zaman dahulu kehidupan manusia mundur kerana tiada Sains dan Teknologi. Manusia ketika itu ketinggalan dalam aspek pendidikan, perubatan, perindustrian kerana tiada alat yang berteknologi tinggi.

Hadirin sekalian,
            Dengan perkembangan Sains, kerja kita menjadi semakin mudah dan cepat. Semua kerja harian kita dapat dibuat dengan pantas dan betul. Kecanggihan teknologi menjadikan manusia semakin pintar.

            Berdasarkan keterangan itu tadi, saya menyarankan agar saudara-saudari menggunakan rekaan Sains dengan bijak. Akhir kata, sampai di sinilah syarahan dan saya sudahi dengan ucapan sekian, terima kasih.









Latihan
Soalan
6
Anda berminat untuk menyertai suatu pertandingan syarahan. Tajuk syarahan itu ialah "Memupuk Budaya Membaca". Sediakan teks syarahan itu dengan lengkap.

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan
kata alu-aluan kepada Pengerusi Majlis, barisan hakim, dan hadirin - menyatakan tajuk syarahan

Isi-isi Penting
(a)    tanggungjawab kerajaan - menyediakan kemudahan perpustakaan bergerak - memperbanyak bahan bacaan bermutu
(b)   tanggungjawab ibu bapa - menjadi model kepada anak-anak - menghadiahkan bahan bacaan yang sesuai
(c)    tanggungjawab pihak sekolah - menganjurkan pertandingan - menggalakkan murid-murid membaca
(d)   tanggungjawab penerbit buku - menawarkan harga buku yang berpatutan - menggunakan bahasa yang mudah difahami

Penutup
semua pihak memainkan peranan penting untuk mewujudkan budaya membaca - melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan

Latihan
Soalan
7
Anda terpilih mewakili sekolah anda untuk suatu pertandingan syarahan. Tajuk syarahan itu ialah "Bahaya Keracunan Makanan".


RANGKA KARANGAN

Pendahuluan
kala alu-aluan kepada Pengerusi Majlis, para hakim, Guru Besar, dan rakan-rakan

Isi-isi Penting
(a)    golongan yang sering terdedah pada keracunan makanan - murid-murid dan orang dewasa
(b)   punca keracunan makanan - penyediaan makanan yang tidak bersih - makanan kotor dan tidak dimasak
(c)    jenis makanan yang mudah dijangkiti bakteria - makanan berlemak - makanan dalam tin
(d)   kesan keracunan makanan - cirit-birit, muntah-muntah, demam, dan kehilangan banyak air

Penutup
menyeru orang ramai menjaga kebersihan - hidup lebih sejahtera - ucapan terima kasih






Latihan
Soalan
8
Andaikan bahawa anda murid yang cemerlang. Anda diundang untuk menyampaikan syarahan tentang teknik-teknik belajar yang berkesan. Tulis syarahan itu selengkapnya.

Rangka Karangan

Pendahuluan
kata alu-aluan - menyatakan tajuk syarahan

Isi-isi Penting
(a)    membuat jadual waktu di rumah - bilangan jam waktu belajar dan masa rehat
(b)   memilih tempat belajar yang sesuai - persekitaran yang nyaman
(c)    belajar secara sistematik - membaca, memahami, mengingati, mengulang kaji - belajar secara berkumpulan
(d)   tindakan sebelum peperiksaan - membuat persediaan dari segi emosi, peralatan dan kesihatan

Penutup
ucapan penutup dan terima kasih

Latihan
Soalan
9
Anda telah menyertai pertandingan syarahan. Tajuknya ialah “Dadah Membawa Maut”. Sediakan teks syarahan kamu itu.

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan
Kata-kata aluan kepada Pengerusi Majlis, Guru Besar, para hakim, guru-guru dan rakan-rakan. Salam – tujuan – tajuk

Isi-isi Penting
  1. Musuh negara – salah guna – mudarat diri – membawa maut
  2. Jenis-jenis dadah – dadah ringan – ganja – dadah berat – heroin, morfin, syabu, pil khayal, pil kuda – asal pokok popi
  3. Penagih perlu wang – RM60.00 hingga RM100.00 sehari – mencuri, meragut – kejadian jenayah merebak
  4. Dadah membawa HIV – penyakit Aids – sindrom kurang daya melawan penyakit – merebak kongsi jarum – tiada ubat – membawa maut

Penutup
menyeru menjauhi dadah – amal cara hidup sihat – hidup lebih sejahtera – ucapan terima kasih 

CONTOH KARANGAN PERBAHASAN


KARANGAN JENIS PERBAHASAN

KETERANGAN:

1. Terbahagi kepada dua, iaitu:
            a. Bentuk pertandingan
                        - memerlukan kata-kata aluan
                        - menyebut panel hakim
            b. Bentuk pendapat
                        - tidak memerlukan kata-kata aluan
                        - bersetuju atau tidak bersetuju dengan tajuk

2. Terdapat dua pihak dalam perbahasan iaitu penyokong atau
    pembangkang.

3. Setiap idea mestilah bernas dan logik dan disertakan contoh.

4. Format perbahasan:-
            a. Kata-kata aluan (pengerusi majlis, hakim, guru, peserta
             dan hadirin)
b. Kata penegas (Hadirin sekalian,)
c. Penegasan tajuk (Berdasarkan hujah-hujah tadi, jelaslah
    bahawa ...)
d. Penutup (Sekian sahaja hujah-hujah saya dan saya ucapkan
    ribuan terima kasih)
5. Perenggan awal mestilah menjelaskan tentang tajuk.

6. Perenggan akhir mestilah menegaskan tajuk.

7. Contoh format;

            Yang Dimuliakan/Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, panel/barisan/para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, barisan pembangkang, dan hadirin sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan.

Hadirin yang dihormati sekalian,
Kesihatan membawa maksud...

Hadirin sekalian,
            Berdasarkan hujah-hujah saya tadi, jelaslah bahawa ............. Sekian sahajalah hujah-hujah saya dan diucapkan terima kasih.








Latihan
Soalan
1
Kamu dan rakan-rakan telah memasuki pertandingan akhir perbahasan antara sekolah di daerah kamu. Tajuk perbahasan ialah “Kebaikan Menyertai Kelas Tuisyen”.
Sediakan hujah-hujah kamu untuk menyokong tajuk tersebut.

RANGKA KARANGAN :

1. Banyak faedah – ilmu tambahan – latihan tambahan

2. Kelas yang selesa – memberi tumpuan – mendapat kenalan – bertukar maklumat

3. Bertanya guru – bilangan murid sedikit – guru beri tumpuan

4. Mengisi masa – lebih baik daripada menonton televisyen


CONTOH KARANGAN:

Yang Dimuliakan Tuan Pengerusi Majlis, Pegawai Pelajaran Daerah Kota Bharu, guru besar-guru besar, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, barisan pembangkang, dan rakan-rakan sekalian.

Berdirinya saya di sini pada pagi yang mulia ini adalah untuk menyokong tajuk perbahasan yang berbunyi “Kebaikan Menyertai Kelas Tuisyen”.

Hadirin yang dihormati sekalian,
            Menyertai kelas tuisyen sangat berfaedah kepada kita. Kita akan mendapat ilmu tambahan selain apa yang dipelajari di sekolah. Latihan tambahan yang dibuat di kelas tuisyen akan memantapkan kefahaman kita terhadap pelajaran.
           
Kebanyakan kelas tuisyen dilengkapi dengan kemudahan seperti pendingin hawa serta kerusi dan meja yang selesa. Ini membolehkan kita memberi tumpuan terhadap pelajaran. Kita juga dapat bertukar-tukar maklumat dengan kenalan dari sekolah lain.

            Biasanya bilangan murid-murid di kelas tuisyen adalah sedikit. Oleh itu, kita dapat bertanya guru jika tidak memahami sesuatu pelajaran. Guru-guru juga dapat memberikan tumpuan yang lebih terhadap kita. Di dalam kelas biasa, kita mungkin tidak mendapat peluang seperti ini.

            Jika kita mengikuti kelas tuisyen, masa senggang kita akan diisi dengan aktiviti yang berfaedah. Ini lebih baik daripada kita hanya membuang masa dengan menonton televisyen di rumah.

Hadirin sekalian,
            Berdasarkan hujah-hujah saya tadi, jelaslah bahawa mengikuti kelas tuisyen memberikan banyak faedah kepada kita. Sekian sahajalah hujah-hujah saya dan diucapkan terima kasih.



Latihan
Soalan
2
Kamu memasuki pertandingan perbahasan. Tajuk perbahasan itu ialah “Usaha Sendiri Lebih Baik daripada Mengikuti Kelas Tambahan”. Sebagai pembangkang, sediakan teks kamu.

CONTOH KARANGAN:

            Yang dimuliakan Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, panel hakim yang arif lagi bijaksana, barisan pencadang dan hadirin sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan. Saya mewakili barisan pembangkang, tidak bersetuju dengan tajuk perbahasan “Menonton Televisyen Adalah Lebih Baik daripada Membaca Akhbar”.

Hadirin yang dihormati sekalian,
            Akhbar merupakan bahan pendidikan serta menyampaikan maklumat dan pengetahuan sejak televisyen belum dicipta lagi. Televisyen pula, lebih banyak menayangkan hiburan daripada pendidikan.

            Akhbar tidak mengandungi unsur-unsur keganasan kerana ia hanya berbentuk tulisan dan gambar tidak bergerak sahaja. Televisyen mengandungi banyak unsur keganasan seperti pukul-memukul, bunuh-membunuh dan juga budaya tidak baik seperti pakaian yang menjolok mata serta adengan cium-mencium.

            Melalui akhbar, kita dapat membaca banyak maklumat yang lengkap tentang sesuatu perkara kerana akhbar mempunyai banyak ruang untuk dimuatkan berita. Jestru itu, ia dapat melatih kita membaca dan dapat menanam minat membaca bagi diri kita.

Hadirin sekalian,
            Membaca akhbar tidak menjadikan kita leka dan lalai tetapi menonton televisyen boleh menyebabkan kita leka dan lalai sehinggakan lupa sembahyang dan membuat kerja rumah. Malah lebih teruk lagi, kita terlupa untuk makan dan minum.

Hadirin sekalian,
            Oleh kerana masa tidak mengizinkan, maka saya ingin menegaskan bahawa membaca akhbar adalah lebih baik daripada menonton televisyen. Sekianlah hujah-hujah saya dan saya akhiri dengan ucapan terima kasih.














Latihan
Soalan
3
Kamu ialah pencadang dalam satu pertandingan perbahasan yang bertajuk “Lebih Baik Memakan Buah-buahan Tempatan Daripada Buah-buahan Luar Negeri”. Sediakan hujah-hujah kamu.


RANGKA KARANGAN

Pendahuluan


Kata alu-aluan; Pengerusi Majlis, Guru Besar, guru-guru penolong kanan, barisan hakim, pihak pembangkang – salam – berdirinya saya – menyokong tajuk – yang berbunyi.

Isi-isi penting


1 -     Kata penegas,
-     Isi:  Negara kita mempunyai pelbagai jenis buah
-          Huraian:  Contoh buah-buahan
-          Huraian lanjut: Mempunyai khasiat yang tinggi – masih segar – rasanya enak

2. -     Isi:  Buah-buahan tempatan senang didapati
-          Huraian:  Terdapat di mana-mana – pasar besar, pasar malam, pasar tani – sangat  banyak pada musim buah
-          Huraian lanjut: Harganya murah

3.-     Isi:  Buah-buahan luar negeri diimport
-          Huraian: Harganya mahal
-          Huraian lanjut:  Mutunya tidak baik – terlalu lama dalam perjalanan – terdapat bahan pengawet – menjejaskan kesihatan

4.-     Kata penegas
-     Isi:  Memakan buah-buahan tempatan – membantu ekonomi petani
-          Huraian: Meningkatkan ekonomi negara
-          Huraian lanjut: Menghalang pengaliran wang keluar

Penutup


– Mengundurkan diri – menegaskan – memakan buah-buahan tempatan adalah lebih baik daripada memakan buah-buahan luar negeri. Sekian, terima kasih.






CONTOH KARANGAN:


Yang dimuliakan Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, pihak pembangkang dan hadirin sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan.  Kami dari barisan pencadang menyokong tajuk yang berbunyi “Lebih Baik Memakan Buah-buahan Tempatan Daripada Buah-buahan Luar Negeri”. 

Hadirin yang dihormati sekalian,
Negara kita kaya dengan pelbagai jenis buah seperti buah durian, rambutan, manggis, langsat dan sebagainya. Buah-buahan tempatan ini mempunyai khasiat yang tinggi kerana masih segar dan rasanya pula enak.

Buah-buahan tempatan senang didapati. Kita boleh membelinya di mana-mana saja seperti pasar besar, pasar malam, pasar tani dan di gerai tepi jalan. Buah-buahan tempatan sangat  banyak terutama pada musim buah manakala harganya murah.

Buah-buahan luar negeri diimport masuk ke negara kita. Harganya mahal jika dibandingkan dengan buah-buahan tempatan. Tambahan pula, mutunya tidak baik kerana terlalu lama dalam perjalanan dan terdapat bahan pengawet yang boleh menjejaskan kesihatan.

Hadirin sekalian,
Jika kita memakan buah-buahan tempatan, kita dapat membantu meningkatkan ekonomi petani dan ekonomi negara. Kita juga dapat membantu menghalang pengaliran wang kita keluar negara.

Sebelum mengundurkan diri, saya ingin menegaskan bahawa memakan buah-buahan tempatan adalah lebih baik daripada memakan buah-buahan luar negeri. Sekianlah hujah saya dan terima kasih.


Latihan
Soalan
4
Anda menyertai pertandingan perbahasan. Tajuk perbahasan itu ialah “Makanan di Rumah Lebih Baik daripada Makanan di Kedai”. Sebagai pencadang, tulis hujah-hujah anda selengkapnya.

RANGKA KARANGAN:

Pendahuluan
kata alu-aluan kepada Pengerusi Majlis, para hakim, guru-guru, barisan pembangkang, dan rakan-rakan

Isi-isi Penting
(a)    menyatakan tajuk perbahasan - menyokong tajuk; tersebut
(b)   makan di rumah - kebersihan makanan terjamin - dicuci dengan sempurna
(c)    menjimatkan belanja - lebih menguntungkan - wang dapat digunakan, untuk keperluan lain
(d)   kesihatan terjamin - dapat mengatur pemakanan harian - mencegah keracunan makanan

Penutup
menyatakan pendirian sekali lagi - ucapan terima kasih



Latihan
Soalan
5
Anda telah menyertai pertandingan perbahasan. Anda sebagai pencadang perlu membahaskan tajuk “Kegiatan Sukan Menyihatkan Badan”.
Tulis hujah-hujah anda selengkapnya


CONTOH KARANGAN:

            Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, panel hakim yang arif lagi bijaksana, barisan pembang-kang dan hadirin yang dihormati. Selamat sejahtera saya ucapkan. Berdirinya saya di atas pentas ini untuk menyokong tajuk perbahasan yang berbunyi “Kegiatan Sukan Menyihatkan Badan”.

Hadirin yang dihormati,
            Badan yang sihat bermaksud kita sihat dari segi fizikal, mental, sosial, emosi dan rohani. Jadi, kita akan dianggap sempurna dari segi kesihatan jika kelima-lima unsur kesihatan ini ada pada diri kita.

            Bagi mencapai tahap kesihatan yang baik, kita seharusnya mengamalkan aktiviti bersukan. Kegiatan bersukan dapat menyihatkan badan kerana dengan bersukan, kecergasan tubuh badan dapat dikekalkan.

            Kita boleh menjalankan aktiviti sukan yang biasa dilakukan oleh orang ramai seperti berjoging, berenang, berbasikal dan permainan bola sepak serta bola jaring yang dapat menguatkan kekuatan otot. Tambahan pula, kegiatan-kegiatan ini sangat baik untuk sistem peredaran darah dan pernafasan.

Sidang hadirin yang dimuliakan,
            Jika kita banyak melakukan kegiatan sukan, maka sistem pertahanan badan kita akan kuat. Orang yang bersukan amat jarang diserang penyakit seperti lemah jantung, kencing manis, asma dan sebagai-nya.Tambahan pula, kegiatan bersukan menjadikan otak kita lebih cerdas dan sihat.

            Berdasarkan hujah-hujah saya itu tadi, maka sudah terang lagi bersuluh bahawa kegiatan sukan adalah kegiatan yang menyihatkan badan. Sekian sahaja hujah-hujah dari saya dan saya akhiri dengan ucapan terima kasih.