COVER

KATA ALUAN

Monday, October 29, 2012

CONTOH KARANGAN PERBAHASAN


KARANGAN JENIS PERBAHASAN

KETERANGAN:

1. Terbahagi kepada dua, iaitu:
            a. Bentuk pertandingan
                        - memerlukan kata-kata aluan
                        - menyebut panel hakim
            b. Bentuk pendapat
                        - tidak memerlukan kata-kata aluan
                        - bersetuju atau tidak bersetuju dengan tajuk

2. Terdapat dua pihak dalam perbahasan iaitu penyokong atau
    pembangkang.

3. Setiap idea mestilah bernas dan logik dan disertakan contoh.

4. Format perbahasan:-
            a. Kata-kata aluan (pengerusi majlis, hakim, guru, peserta
             dan hadirin)
b. Kata penegas (Hadirin sekalian,)
c. Penegasan tajuk (Berdasarkan hujah-hujah tadi, jelaslah
    bahawa ...)
d. Penutup (Sekian sahaja hujah-hujah saya dan saya ucapkan
    ribuan terima kasih)
5. Perenggan awal mestilah menjelaskan tentang tajuk.

6. Perenggan akhir mestilah menegaskan tajuk.

7. Contoh format;

            Yang Dimuliakan/Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, panel/barisan/para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, barisan pembangkang, dan hadirin sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan.

Hadirin yang dihormati sekalian,
Kesihatan membawa maksud...

Hadirin sekalian,
            Berdasarkan hujah-hujah saya tadi, jelaslah bahawa ............. Sekian sahajalah hujah-hujah saya dan diucapkan terima kasih.








Latihan
Soalan
1
Kamu dan rakan-rakan telah memasuki pertandingan akhir perbahasan antara sekolah di daerah kamu. Tajuk perbahasan ialah “Kebaikan Menyertai Kelas Tuisyen”.
Sediakan hujah-hujah kamu untuk menyokong tajuk tersebut.

RANGKA KARANGAN :

1. Banyak faedah – ilmu tambahan – latihan tambahan

2. Kelas yang selesa – memberi tumpuan – mendapat kenalan – bertukar maklumat

3. Bertanya guru – bilangan murid sedikit – guru beri tumpuan

4. Mengisi masa – lebih baik daripada menonton televisyen


CONTOH KARANGAN:

Yang Dimuliakan Tuan Pengerusi Majlis, Pegawai Pelajaran Daerah Kota Bharu, guru besar-guru besar, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, barisan pembangkang, dan rakan-rakan sekalian.

Berdirinya saya di sini pada pagi yang mulia ini adalah untuk menyokong tajuk perbahasan yang berbunyi “Kebaikan Menyertai Kelas Tuisyen”.

Hadirin yang dihormati sekalian,
            Menyertai kelas tuisyen sangat berfaedah kepada kita. Kita akan mendapat ilmu tambahan selain apa yang dipelajari di sekolah. Latihan tambahan yang dibuat di kelas tuisyen akan memantapkan kefahaman kita terhadap pelajaran.
           
Kebanyakan kelas tuisyen dilengkapi dengan kemudahan seperti pendingin hawa serta kerusi dan meja yang selesa. Ini membolehkan kita memberi tumpuan terhadap pelajaran. Kita juga dapat bertukar-tukar maklumat dengan kenalan dari sekolah lain.

            Biasanya bilangan murid-murid di kelas tuisyen adalah sedikit. Oleh itu, kita dapat bertanya guru jika tidak memahami sesuatu pelajaran. Guru-guru juga dapat memberikan tumpuan yang lebih terhadap kita. Di dalam kelas biasa, kita mungkin tidak mendapat peluang seperti ini.

            Jika kita mengikuti kelas tuisyen, masa senggang kita akan diisi dengan aktiviti yang berfaedah. Ini lebih baik daripada kita hanya membuang masa dengan menonton televisyen di rumah.

Hadirin sekalian,
            Berdasarkan hujah-hujah saya tadi, jelaslah bahawa mengikuti kelas tuisyen memberikan banyak faedah kepada kita. Sekian sahajalah hujah-hujah saya dan diucapkan terima kasih.



Latihan
Soalan
2
Kamu memasuki pertandingan perbahasan. Tajuk perbahasan itu ialah “Usaha Sendiri Lebih Baik daripada Mengikuti Kelas Tambahan”. Sebagai pembangkang, sediakan teks kamu.

CONTOH KARANGAN:

            Yang dimuliakan Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, panel hakim yang arif lagi bijaksana, barisan pencadang dan hadirin sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan. Saya mewakili barisan pembangkang, tidak bersetuju dengan tajuk perbahasan “Menonton Televisyen Adalah Lebih Baik daripada Membaca Akhbar”.

Hadirin yang dihormati sekalian,
            Akhbar merupakan bahan pendidikan serta menyampaikan maklumat dan pengetahuan sejak televisyen belum dicipta lagi. Televisyen pula, lebih banyak menayangkan hiburan daripada pendidikan.

            Akhbar tidak mengandungi unsur-unsur keganasan kerana ia hanya berbentuk tulisan dan gambar tidak bergerak sahaja. Televisyen mengandungi banyak unsur keganasan seperti pukul-memukul, bunuh-membunuh dan juga budaya tidak baik seperti pakaian yang menjolok mata serta adengan cium-mencium.

            Melalui akhbar, kita dapat membaca banyak maklumat yang lengkap tentang sesuatu perkara kerana akhbar mempunyai banyak ruang untuk dimuatkan berita. Jestru itu, ia dapat melatih kita membaca dan dapat menanam minat membaca bagi diri kita.

Hadirin sekalian,
            Membaca akhbar tidak menjadikan kita leka dan lalai tetapi menonton televisyen boleh menyebabkan kita leka dan lalai sehinggakan lupa sembahyang dan membuat kerja rumah. Malah lebih teruk lagi, kita terlupa untuk makan dan minum.

Hadirin sekalian,
            Oleh kerana masa tidak mengizinkan, maka saya ingin menegaskan bahawa membaca akhbar adalah lebih baik daripada menonton televisyen. Sekianlah hujah-hujah saya dan saya akhiri dengan ucapan terima kasih.














Latihan
Soalan
3
Kamu ialah pencadang dalam satu pertandingan perbahasan yang bertajuk “Lebih Baik Memakan Buah-buahan Tempatan Daripada Buah-buahan Luar Negeri”. Sediakan hujah-hujah kamu.


RANGKA KARANGAN

Pendahuluan


Kata alu-aluan; Pengerusi Majlis, Guru Besar, guru-guru penolong kanan, barisan hakim, pihak pembangkang – salam – berdirinya saya – menyokong tajuk – yang berbunyi.

Isi-isi penting


1 -     Kata penegas,
-     Isi:  Negara kita mempunyai pelbagai jenis buah
-          Huraian:  Contoh buah-buahan
-          Huraian lanjut: Mempunyai khasiat yang tinggi – masih segar – rasanya enak

2. -     Isi:  Buah-buahan tempatan senang didapati
-          Huraian:  Terdapat di mana-mana – pasar besar, pasar malam, pasar tani – sangat  banyak pada musim buah
-          Huraian lanjut: Harganya murah

3.-     Isi:  Buah-buahan luar negeri diimport
-          Huraian: Harganya mahal
-          Huraian lanjut:  Mutunya tidak baik – terlalu lama dalam perjalanan – terdapat bahan pengawet – menjejaskan kesihatan

4.-     Kata penegas
-     Isi:  Memakan buah-buahan tempatan – membantu ekonomi petani
-          Huraian: Meningkatkan ekonomi negara
-          Huraian lanjut: Menghalang pengaliran wang keluar

Penutup


– Mengundurkan diri – menegaskan – memakan buah-buahan tempatan adalah lebih baik daripada memakan buah-buahan luar negeri. Sekian, terima kasih.






CONTOH KARANGAN:


Yang dimuliakan Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, pihak pembangkang dan hadirin sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan.  Kami dari barisan pencadang menyokong tajuk yang berbunyi “Lebih Baik Memakan Buah-buahan Tempatan Daripada Buah-buahan Luar Negeri”. 

Hadirin yang dihormati sekalian,
Negara kita kaya dengan pelbagai jenis buah seperti buah durian, rambutan, manggis, langsat dan sebagainya. Buah-buahan tempatan ini mempunyai khasiat yang tinggi kerana masih segar dan rasanya pula enak.

Buah-buahan tempatan senang didapati. Kita boleh membelinya di mana-mana saja seperti pasar besar, pasar malam, pasar tani dan di gerai tepi jalan. Buah-buahan tempatan sangat  banyak terutama pada musim buah manakala harganya murah.

Buah-buahan luar negeri diimport masuk ke negara kita. Harganya mahal jika dibandingkan dengan buah-buahan tempatan. Tambahan pula, mutunya tidak baik kerana terlalu lama dalam perjalanan dan terdapat bahan pengawet yang boleh menjejaskan kesihatan.

Hadirin sekalian,
Jika kita memakan buah-buahan tempatan, kita dapat membantu meningkatkan ekonomi petani dan ekonomi negara. Kita juga dapat membantu menghalang pengaliran wang kita keluar negara.

Sebelum mengundurkan diri, saya ingin menegaskan bahawa memakan buah-buahan tempatan adalah lebih baik daripada memakan buah-buahan luar negeri. Sekianlah hujah saya dan terima kasih.


Latihan
Soalan
4
Anda menyertai pertandingan perbahasan. Tajuk perbahasan itu ialah “Makanan di Rumah Lebih Baik daripada Makanan di Kedai”. Sebagai pencadang, tulis hujah-hujah anda selengkapnya.

RANGKA KARANGAN:

Pendahuluan
kata alu-aluan kepada Pengerusi Majlis, para hakim, guru-guru, barisan pembangkang, dan rakan-rakan

Isi-isi Penting
(a)    menyatakan tajuk perbahasan - menyokong tajuk; tersebut
(b)   makan di rumah - kebersihan makanan terjamin - dicuci dengan sempurna
(c)    menjimatkan belanja - lebih menguntungkan - wang dapat digunakan, untuk keperluan lain
(d)   kesihatan terjamin - dapat mengatur pemakanan harian - mencegah keracunan makanan

Penutup
menyatakan pendirian sekali lagi - ucapan terima kasih



Latihan
Soalan
5
Anda telah menyertai pertandingan perbahasan. Anda sebagai pencadang perlu membahaskan tajuk “Kegiatan Sukan Menyihatkan Badan”.
Tulis hujah-hujah anda selengkapnya


CONTOH KARANGAN:

            Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, panel hakim yang arif lagi bijaksana, barisan pembang-kang dan hadirin yang dihormati. Selamat sejahtera saya ucapkan. Berdirinya saya di atas pentas ini untuk menyokong tajuk perbahasan yang berbunyi “Kegiatan Sukan Menyihatkan Badan”.

Hadirin yang dihormati,
            Badan yang sihat bermaksud kita sihat dari segi fizikal, mental, sosial, emosi dan rohani. Jadi, kita akan dianggap sempurna dari segi kesihatan jika kelima-lima unsur kesihatan ini ada pada diri kita.

            Bagi mencapai tahap kesihatan yang baik, kita seharusnya mengamalkan aktiviti bersukan. Kegiatan bersukan dapat menyihatkan badan kerana dengan bersukan, kecergasan tubuh badan dapat dikekalkan.

            Kita boleh menjalankan aktiviti sukan yang biasa dilakukan oleh orang ramai seperti berjoging, berenang, berbasikal dan permainan bola sepak serta bola jaring yang dapat menguatkan kekuatan otot. Tambahan pula, kegiatan-kegiatan ini sangat baik untuk sistem peredaran darah dan pernafasan.

Sidang hadirin yang dimuliakan,
            Jika kita banyak melakukan kegiatan sukan, maka sistem pertahanan badan kita akan kuat. Orang yang bersukan amat jarang diserang penyakit seperti lemah jantung, kencing manis, asma dan sebagai-nya.Tambahan pula, kegiatan bersukan menjadikan otak kita lebih cerdas dan sihat.

            Berdasarkan hujah-hujah saya itu tadi, maka sudah terang lagi bersuluh bahawa kegiatan sukan adalah kegiatan yang menyihatkan badan. Sekian sahaja hujah-hujah dari saya dan saya akhiri dengan ucapan terima kasih.







9 comments:

  1. Slm,nak tanye...Mcm mne klau kita slh format karangan tu??

    ReplyDelete
  2. Slm,nak tanye...Mcm mne klau kita slh format karangan tu??

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. nape xde kebaikan menonton televisyen??

    ReplyDelete
  5. nape xde kebaikan menonton televisyen??

    ReplyDelete
  6. terima kasih untuk contoh karangan perbahasan ni

    ReplyDelete
  7. kenape tkde karangan tajuk kebaikan makan makanan di kedai berbanding makan makanan di rumah? hurmm i want

    ReplyDelete
  8. Ade tak... Perbahasan pendapat!

    ReplyDelete